[REKACIPTA] Nota Ringkas Cerpen Kasut Kelopak Jantung

Kami menyediakan nota ringkas bagi Antologi Teks Komponen Sastera Tingkatan 1, Kasut Kelopak Jantung nukilan Ghazali Lateh. Anda juga disediakan sebuah filem pendek Kasut Kelopak Jantung. Semoga segala maklumat ini dapat memberi manfaat kepada anda.


SINOPSIS
Cikgu Harun menerima bungkusan hadiah daripada anak muridnya menjelang Hari Guru pada setiap tahun. Pemberian ini telah mengingatkannya akan peristiwa tiga puluh tahun lalu sewaktu beliau bergelar pendidik di kawasan pedalaman. Ahmad, pelajar yang miskin tidak mampu membeli kasut untuk ke sekolah. Ahmad hanya berjalan kaki ke sekolah. Dia tidak disenangi oleh Cikgu Harun kerana beliau terpaksa menegur Ahmad setiap kali bermulanya sesi pembelajaran. Kemarahan Cikgu Harun memuncak apabila Ahmad tidak menukar pakaian waktu bersenam di sekolah. Cikgu Harun telah mendenda Ahmad dengan menyuruh Ahmad memakai kelopak jantung pisang sebagai kasut. Ahmad tidak dibenarkan membuka kelopak jantung itu sehingga dia membeli kasut baharu. Ahmad sangat malu terhadap kawan-kawannya dan dia tidak hadir ke sekolah selama seminggu. Perkara ini membimbangkan Cikgu Harun. Cikgu Harun telah pergi ke rumah Ahmad dan berjumpa dengannya. Beliau terkejut kerana Ahmad tidak membuka kasut kelopak jantung. Ahmad tidak mempunyai duit untuk membeli kasut baharu. Cikgu Harun sedih lalu membelikan Ahmad sepasang kasut dan pakaian baharu untuk ke sekolah. Akhirnya, Ahmad berjaya menjadi pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar.

TEMA
Kemiskinan hidup pelajar di kawasan pedalaman dalam menempuh alam persekolahan dan pelajar yang menghargai jasa guru.

PERSOALAN
- Kecekalan dalam menuntut ilmu walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
- Ingatan dan penghargaan terhadap guru yang berjasa.
- Ketaatan murid terhadap arahan guru.
- Ketegasan seorang guru.
- Sikap bertanggungjawab seorang guru terhadap pelajar.
- Gigih bekerja untuk mencari rezeki

PENGAJARAN
- Kita hendaklah sentiasa patuh pada arahan guru.
- Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap perbuatan yang telah dilakukan.
- Seorang guru haruslah tegas dalam mendidik.
- Kita hendaklah mengenang jasa guru yang mendidik kita.
- Jangan jadikan kemiskinan sebagai alasan untuk enggan menuntut ilmu. 
- Kita hendaklah tabah dan menerima segala takdir yang menimpa kita serta menganggapnya sebagai ujian daripada Tuhan kepada hambanya.


Oleh:
Farah Nur A'leya Binti Md. Nawi