[MOTIVASI] Baby Elephant Syndrome

Seekor anak gajah di bawa ke sebuah sarkis bagi membuat pertunjukkan. Gajah yang masih kecil itu diikat dengan rantai besi. Gajah itu cuba untuk membebaskan diri tetapi gagal dan dia terus mencuba namun tetap gagal. Setelah sekian lama mencuba, mencuba dan terus mencuba untuk melepaskan diri daripada dirantai, anak gajah tersebut akhirnya mengalah dan berhenti mencuba kerana sangkanya memang dia tidak akan mampu untuk melepaskan diri daripada ikatan tersebut.


Anak gajah itu kini telah menjadi gajah dewasa. Kalau difikirkan secara logik, boleh sahaja gajah itu melepaskan dirinya. Bukankah gajahkan besar dan kuat? Tapi sayang, gajah itu telah berhenti mencuba.

Mengapa gajah itu tidak melepaskan diri dari sarkis tersebut sedangkan gajah tersebut dilayan dengan teruk dan dikurung? Sebenarnya, yang dirantai itu BUKANLAH PADA KAKINYA, TAPI PADA FIKIRANNYA. Kepercayaan itulah yang meracun gajah tersebut sehingga dia percaya bahawa dia tidak mampu berbuat apa-apa. Pemikiran negatif itu dipegang sehinggalah gajah itu dewasa dan terus menjadi hamba kepada dunia sarkis.

Begitu juga dengan kita, sebagai contoh pelajar-pelajar tingkatan 4 yang belajar subjek baru. Sebelum belajar lagi, kebanyakan daripada mereka sudah menanam pemikiran bahawa subjek Addmath itu sukar. Mustahil untuk mendapat keputusan yang baik, sedangkan mereka telah berusaha bersungguh-sungguh, tapi masih gagal berkali-kali. Oleh itu mereka berhenti berusaha dan memilih untuk percaya bahawa subjek Addmath itu memang sukar. Justeru, langkah pertama untuk berjaya adalah dengan melepaskan diri kita daripada sebarang kepercayaan negatif, sebaliknya percaya bahawa kita mampu.

Ingat! ada satu perkara yang lebih susah daripada yang susah, iaitu BERUBAH. Sehingga ada yang memilih untuk hidup susah berbanding berubah. Ayuh, kita berubah!

Oleh:
Farah Nur A'leya Binti Md. Nawi