[MOTIVASI] Kita Dan Rama-Rama

Rama-rama yang keluar dari kepompong
Kajian menunjukkan rama-rama yang dibantu untuk keluar dari kepompong mempunyai jangka hayat yang lebih singkat dan bentuk badan yang tidak normal berbanding rama-rama yang keluar dari kepompong secara sendirinya, walaupun dalam susah payah. Fitrahnya, rama-rama mesti melalui lubang kecil tersebut sebagai jalan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. bagi memaksa cairan daripada tubuh rama-rama masuk ke dalam kepaknya, untuk menambah kekuatan pada sayap-sayap rama-rama tersebut.

Hal ini supaya rama-rama itu berupaya terbang apabila ia memperolehi kebebasan daripada kepompong tersebut. Ternyata, sisa kepompong yang menghalang rama-rama untuk keluar juga sebenarnya amat diperlukan bagi menyediakan rama-rama tersebut untuk menempuhi peringkat kehidupan seterusnya.

Begitu jugalah kita sebagai khalifah di bumi ini, kesukaran itulah yang menjadikan kita lebih kuat dan tabah. Bak kata pepatah 'berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian'. Setiap perkara yang berlaku pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Yakinlah dengan jalan yang telah ditetapkan oleh Allah, kerana Dia mengenali kita lebih daripada kita mengenali diri kita sendiri.

Perkongsian dari Ikim.fm pada pagi 23 April.

Oleh:
Farah Nur A'leya Binti Md. Nawi